Pengertian Ilmu Usul al-Fiqh Usul_al-fiqh

Perkataan Usul al-Fiqh berasal dari dua perkataan bahasa Arab, iaitu Usul dan al-Fiqh. Dari segi bahasa, Usul bererti asas, sumber, kaedah atau dalil, manakala al-Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, al-Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.

Hasil daripada gabungan Usul dengan al-Fiqh, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu Usul al-Fiqh. Ilmu Usul al-Fiqh membawa definisi ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.